Sabtu, 31 Juli 2021

Penuntut ilmu harus kenal dengan Al-imam Syeikh Al-syafi'iyyah Fi Zamanih Tajuddin Al-fazari ‎(690ت) ‏yang dikenali dengan laqab Al-firkah.

Penuntut ilmu harus kenal dengan Al-imam Syeikh Al-syafi'iyyah Fi Zamanih Tajuddin Al-fazari (690ت) yang dikenali dengan laqab Al-firkah.

Beliau merupakan pemuka mazhab syafie di zamannya di Syam. Diantara guru beliau yang utama ialah Imam Ibn Al-solah dan Sultan Al-ulama' Al-'izz Bin Abdul Salam. 

1)Pujian Para Ulama' Terhadap Beliau 

Kata Imam Ibn Kathir tentang beliau:

العلامة، شيخ المذهب على الإطلاق في زمانه

(Al-'allamah, Syeikhul Mazhab di zamannya tanpa perbincangan) 

Kata Imam Al-dzahabi tentang beliau:

الإمام فقيه الشام شيخ الإسلام، كبير الشافعية و تخرج به الأئمة

(Imam, faqih al syam, Syeikhul islam, tokoh besar di kalangan Syafi'iyyah, ramai para imam yang lahir hasil dari didikan beliau) 

Kata Imam Al-subki:

فقيه أهل الشام، كان إماما مدققا نظارا

(Faqih Ahli Al-syam, seorang imam yang amat teliti dan mahir di dalam ilmu-ilmu aqliyyat) 

Kata Imam Al-sofadi:

العلامة الإمام، مفتي الإسلام، فقيه الشام،.... انتهت إليه رئاسة المذهب

(Al-'allamah Al-imam, Mufti Al-islam, Faqih Al-syam, padanya berhenti kemuncak ketokohan di dalam mazhab Al-syafie)

2)Diantara penulisan beliau yang sampai pada kita di zaman kini ialah:

A)Syarh Al-waraqat, antara syarah paling awal untuk matan Al-waraqat dan ianya sentiasa dijadikan rujukan ulama' selepas beliau. 

B)Al-iqlid Li Dar' Al-taqlid, kitab yang agung yang menghuraikan al-tanbih oleh imam Al-syirazi. Bahkan beliau menulis huraian itu dengan nafas seorang mujtahid yang membahaskan dalil-dalil dan qaul para ulama' syafi'iyyah sebelumnya. 

C)Ghayah Al-sul Fi Makrifah Ilm al-usul

Kitab yang sangat penting yang mana beliau menjelaskan pegangan akidah beliau yang selari dengan akidah ahli sunnah wa al-jammah. 

3)Hubungan Beliau Dengan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah 

Ramai yang tidak tahu bahawa Imam Tajuddin Al-fazari adalah diantara guru Ibn Taimiyyah. Syeikhul Islam belajar dengan beliau kitab Sahih Al-bukhari. 

Bahkan Imam Tajuddin Al-fazari amat menghormati dan menyayangi Syeikhul Islam. 

Kata imam Al-dzahabi:

كان يبالغ في تعظيم الشيخ تقي الدين ابن تيمية 

(Imam Al-fazari ini selalu mengagung agungkan Ibn Taimiyyah) 

Bahkan menurut imam Al-dzahabi dan Imam Ibn Kathir, ketika Ibn Taimiyyah mula membuka majlis. Antara orang yang hadir majlisnya ialah imam Tajuddin Al-fazari, sedangkan Al-fazari ialah guru beliau bahkan telah mencapai darjat Syeikh Al-syafi'iyyah. Sehinggakan Al-fazari mencatat nota dan menyukai dengan faedah yang beliau dapat dari Syeikhul Islam yang ketika itu baru berumur 21 tahun. 

Selepas pemergian Imam Tajuddin Al-fazari, yang menjadi Syeikh Al-syafi'iyyah di zamannya pula ialah Imam Syarafuddin Al-maqdisi. Di mana beliau juga menyayangi Ibn Taimiyyah. Bahkan beliau lah diantara yang mengizinkan Ibn Taimiyyah untuk berfatwa hinggakan beliau selalu berbangga "sayalah yang izinkan Ibn Taimiyyah untuk berfatwa". 

Apabila berlaku mehnah awal berkaitan permasalahan akidah yang melibatkan Ibn Taimiyyah pada tahun (690H) Imam Syarafuddin Al-maqdisi ini dan sahabatnya Qadhi Al-qudhah Syihabuddin Al-khuyii lah yang menyatakan sokongan terhadap akidah Ibn Taimiyyah. Sehingga Qadhi Al-qudhah Syihabuddin berkata:

 أنا على اعتقاده
(Saya diatas akidah yang sama dengan Ibn Taimiyyah). 

Begitulah sedikit sebanyak kisah-kisah menarik berkaitan para imam kita. Moga Allah rahmati mereka semua dan mengumpulkan kita bersama mereka di syurga kelak. Amiin
Ustadz Abdul Aziz