Sabtu, 14 Desember 2024

Antara kenangan manis saya ketika menuntut di Universiti Islam Madinah adalah kami sempat diajar oleh Syekh Abdul Muhsin Al Abbad (semoga Allah menjaga beliau) secara langsung di Kuliah Syari'ah dalam mata pelajaran hadith

Antara kenangan manis saya ketika menuntut di Universiti Islam Madinah adalah kami sempat diajar oleh Syekh Abdul Muhsin Al Abbad (semoga Allah menjaga beliau) secara langsung di Kuliah Syari'ah dalam mata pelajaran hadith.

Syekh adalah seorang yang selalu menepati waktu bahkan sering datang setengah jam lebih awal sebelum kuliah bermula.

Kesempatan itu biasanya kami gunakan untuk bertanya beliau akan pelbagai permasalahan, baik berkaitan mata pelajaran, mahupun isu dan fatwa di luar.

Saya sangat menikmati masa-masa itu, kerana itulah satu-satunya saat kami dapat berada begitu dekat dengan beliau, ini disebabkan di Masjid Nabawi beliau sentiasa dikelilingi oleh ratusan penuntut ilmu dari seluruh dunia.

Suatu ketika, sahabat kami dari Mesir bertanya akan fitnah yang berlaku di antara ulama' di Madinah ketika itu, masalah tahzir antara syekh yang satu dan syekh yang lainnya. Ini kerana Syekh Abbad pernah mengeluarkan risalah untuk mendamaikan kedua-dua pihak, memandangkan keduanya adalah bekas anak murid Syekh Abbad di Uni Madinah. 

Tiba-tiba Syekh Abbad marah besar serta menasihati penuntut ilmu untuk tidak menyibukkan diri dengan hal yang tidak bermanfaat, beliau mengatakan hal itu adalah salah satu jenis bentuk Namimah (adu-domba) di kalangan ulama. Sungguh, saya tidak pernah melihat syekh marah sedemikian rupa sebelumnya.

Tepat waktu kuliah bermula, syekh meminta salah satu dari kami untuk membacakan hadith berikutnya, atas sebab ini saya suka duduk di depan. Mengambil kesempatan untuk menjadi orang yang pernah membacakan hadith untuk beliau. 

Namun supaya adil, setiap dari kami bergantian membacakan hadith agar mendapatkan keberkahan majelis ilmu dan merasakan pengalaman tersebut. 

Sampai lah giliran sahabat kami dari Mesir di baris ketiga, ketika dia membacakan hadith tiba-tiba dia tersasul satu huruf, dengan serta-merta Syekh Abbad terus memberikan komentarnya: "Ini (tersasul) adalah disebabkan kesan dari fitnah antara ulama!"

Walhal kita semua sedia maklum bahawa Syekh tidak dapat melihat dengan sempurna kerana rabun akibat telah lanjut usia, bahkan pelajaran sudah berlalu sekitar sejam lebih.

Namun Syekh masih ingat suara orang yang bertanya dan menegurnya dengan teguran yang agak keras dan tajam.

Hari itu saya belajar, bahawa tidak semua masalah harus kita tanyakan, serta untuk tidak menyibukkan diri membicarakan orang lain, apalagi jika ia berkaitan dengan harga diri seorang ulama'.

Terdapat kaedah yang telah disepakati oleh para ahli ilmu:
كلام الأقران يُطوى ولا يُروى
"Kata-kata antara rakan sebaya, dilipat (disimpan) dan tidak diceritakan."

Sibukkan lah diri untuk menghadiri kajian dari membicarakan orang lain! 

Muhammad Luthfi bin Mohammad Masruh.
Singapura, pukul 4 pagi tak dapat tidur sebab jetlag.