Rabu, 19 Juni 2024

DIPOTONG LIDAH

DIPOTONG LIDAH

Al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar merupakan cucu kepada Abu Bakar As-Siddiq radhiyallahu. 

Beliau dibesarkan dan didik oleh ibu saudaranya, Aaisyah radhiyallahu anha. Malah, beliau banyak belajar daripada Aaisyah radhiyallahu anha sehingga beliau termasuk salah seorang yang paling mengetahui tentang hadis Aaisyah radhiyallahu anha. 

Selain Aaisyah, beliau juga belajar dengan Ibnu Abbas, Abu Hurairah, Ibnu Umar dan sahabat-sahabat radhiyallahu anhum yang lain. 

Banyak pujian ulama terhadap dirinya dari segi ilmunya dan kesolehannya. 

Namun, hadis yang diriwayatkannya sedikit. Begitu juga, fatwa yang dikeluarkannya sedikit 

Kenapa?

Ini kerana sifat WARA' yang ada pada dirinya.

Imam Malik berkata: Seorang amir (penguasa) daripada penguasa Madinah datang kepada Al-Qasim. Beliau bertanya kepada Al-Qasim tentang suatu persoalan. 

Al-Qasim berkata 

 إن من إكرام المرء نفسه أن لا يقول إلا ما أحاط به علمه .

"Sesungguhnya antara cara seseorang MEMULIAKAN DIRINYA SENDIRI adalah dia tidak BERCAKAP kecuali apa yang dia MELIPUTI (MENGUASAI) ILMUNYA". [Siyar 'Alam An-Nubala' ] 

Ibnu Aun berkata: Aku berada di sisi Al-Qasim apabila dia didatangi oleh seorang lelaki. Lelaki itu bertanya kepadanya tentang suatu persoalan. 

Al-Qasim berkata:

لا أحسنه

"Aku bukan pakarnya" 

Lelaki itu berkata: "Aku terpaksa bertanya kepada engkau. Aku tidak mengetahui orang lain selain engkau".

Al-Qasim berkata:

لا تنظر إلى طول لحيتي وكثرة الناس حولي، والله ما أحسنه

"Jangan engkau melihat PANJANGNYA JANGGUTKU dan RAMAINYA ORANG di SEKELILINGKU. Demi Allah, aku bukan pakarnya". 

Lalu seorang lelaki tua daripada Quraisy yang berada di sebelahnya berkata kepadanya:

يا ابن أخي الزمها فوالله ما رأيتك في مجلس أنبل منك اليوم

"Wahai anak saudaraku (Al-Qasim). Lazimilah (perkataan engkau itu). Demi Allah, aku tidak melihat seorang dalam majlis yang lebih bijak daripada engkau pada hari ini" 

Al-Qasim berkata:

والله لأن يقطع لساني أحب إلي من أن أتكلم بما لا علم لي به

"Demi Allah, LIDAHKU DIPOTONG  lebih aku sukai daripada aku BERCAKAP dengan sesuatu yang aku TIDAK MEMPUNYAI ILMU tentangnya". [Jami' Bayan Al-Ilm] 

Yahya bin Said berkata: Aku mendengar Al-Qasim berkata:

لأن يعيش الرجل جاهلا بعد أن يعرف حق الله عليه خير له من أن يقول ما لا يعلم .

"Seseorang hidup dalam keadaan JAHIL - selepas dia mengetahui hak Allah ke atasnya (perkara-perkara yang wajib ditunaikannya) - LEBIH BAIK daripada dia BERCAKAP apa yang dia TIDAK TAHU". [Siyar 'Alam An-Nubala'] 

Berhati-hatilah dalam menyebutkan sesuatu yang kita tidak tahu. Lebih-lebih lagi, jika ia perkara yang berkaitan agama. 

Belajarlah daripada ulama yang berilmu dan  yang beramal dengan ilmu mereka Lihatlah keadaan dan hal mereka yang wara'. 

Semoga Allah memberikan kita ilmu yang bermanfaat dan amalan yang baik. 

Dr ARAR
03121445
10062024